Amalan yang membebankan Keluarga si Mati… renungkan..
Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang
Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan
kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi
bersedih dengan kehilangan orang tersayang.
Katanya Rasulullah Salawatu Alai Wasalam ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi
Talib, baginda bersabda:
“Persiapkan makanan untuk keluarga Ja’far, kerana sesungguhnya mereka telah
didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan). ” – Hadith riwayat
al-Tirmidhi & Abu Dawud.
Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah: 155-157) perlu
disokong dan dibantu.
Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan
keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan
kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang
jenazah dan kenduri arwah.
“Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama,
malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak
mempunyai asas sama sekali dalam Islam,” katanya yang dipetik dari laman web
tersebut
Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si
mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim
malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu
dihentikan.
Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah
Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh
Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa
ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan
rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.
Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik
daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.
Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:”Daripada bidaah apa dibuat
keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan
upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya. ”
“Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan
di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih
haram.
“Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk
kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram
ini setiap yang memanggil dan memakannya.” ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik:
Dar al-Qalam).
Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di
bawah tajuk ‘Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama’ oleh Tuan Guru Dato’
Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu
Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.
“Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan
suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan
berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum
dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.
“Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada
petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, ” kata Nik Aziz.
Kenyataan pahit dan mengejutkan
Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi
suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan
perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari
sudut ilmiyah.
“Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia
kembali kepada al-Quran dan Sunnah,” katanya
“Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam
masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan
tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali
berlaku kematian,” katanya lagi
Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama
terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai
dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk
sahabat-sahabatnya r.a yang mati.
“Orang yang paling sayang terhadap Nabi Salawatu Alai Wasalam. adalah para sahabatnya yang
sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para
sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi Salawatu Alai Wasalam.?” katanya
membangkitkan persoalan.
Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para
sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.
“Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut
sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah
menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya,” katanya.
Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama
dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa’ 4:59 :
“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil
amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu,
maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika
kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu
lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”